Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) akan merancakkan pembangunan yang telah dirancang di Bahagian Betong.
Dalam hal ini, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diseru agar memainkan peranan membantu BIDA merancang kemudahan dan keperluan rakyat di Betong termasuk di Daerah Pusa.
Demikian menurut Ahli Parlimen Batang Lupar merangkap Penasihat Premier Sarawak, Dato Sri Rohani Abdul Karim semasa Majlis Ngiling Tikai Peringkat Parlimen Batang Lupar (DUN Beting Maro) di Rumah Bunsi, Munggu Ruan Muton pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat untuk menjaga dan memelihara adat resam dan budaya agar ianya tidak hilang ditelan zaman.
Katanya, adat resam serta ketinggian budaya di Sarawak dapat menarik para pelancong ke sini sekali gus memperkenalkan Sarawak sebagai wilayah yang mempunyai pelbagai etnik, bangsa dan agama di seluruh dunia.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dalam ucapan aluan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat di kawasan Undai kerana memberi kemenangan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lalu dengan erti kata βKerajaan Berbudi, Rakyat Membalasβ.
Katanya, penduduk di Sarawak membuat pilihan yang tepat memastikan politik di negeri ini stabil agar perancangan pembangunan dapat dilakukan dengan baik di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Tambahnya, Premier Sarawak merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh untuk memajukan Sarawak dan telah banyak membawa pembangunan dari segi kemudahan asas di kawasan Beting Maro. β EDISI UKAS