ISNIN, 29 MEI 2023
BETING MARO: Industri penghasilan gula apong perlu dinaiktaraf ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia mampu menaiktaraf ekonomi masyarakat setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, industri ini berpotensi untuk dibangunkan kerana mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada penduduk tempatan.
“Terdapat 150,000 hektar di kawasan Sarawak adalah tumbuhan yang dipenuhi pokok nipah, maka kelebihan ini perlu dimanfaatkan oleh kerajaan bagi membangunkan industri ini secara besar-besaran,” katanya semasa Program Pembangunan Komuniti Nipah (Transformasi Ekonomi Luar Bandar) di Kampung Tambak, Pusa pada Isnin.
Razaili berharap pengusaha gula apong di Kampung Tambak, Pusa menggunakan program tersebut untuk mempelajari ilmu tentang produk berasaskan gula apong ini agar terus maju dan terkenal di seluruh negara.
Tambahnya, pengusaha juga perlu mengambil peluang dengan menjadikan pokok nipah sebagai ladang yang perlu dibesarkan serta dijadikan produk pelancongan jika dijaga dan dikomersialkan.
Turut hadir ADUN Kabong Mohd Chee Kadir, Timbalan Residen Bahagian Betong Mahra Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research Sdn. Bhd. Zaidell Hussain dan Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Zin. – EDISI UKAS