ISNIN, 18 JULAI 2023
BETONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor bersama Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli bersama-sama menziarahi rumah penduduk Kampung Beladin untuk melihat sendiri perkembangan semasa dan kerosakan akibat musibah yang menimpa penduduk kampung berkenaan baru-baru ini.
Ketika ditemui dalam lawatan pada Selasa, Razaili memohon agar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong mencari maklumat terperinci mengenai musibah yang melanda penduduk Kampung Beladin ekoran ribut pada malam Sabtu.
Selain itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada JKM kerana telah membantu mereka dengan menyumbang bakul makanan serta wang ringit bagi meringankan beban mangsa.
“Kita berasa bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku dan kita terpaksa akur di atas ujian ini kerana kita tidak dapat melawan takdir daripada Yang Maha Esa.
“Saya berharap agar penduduk Kampung Beladin terus bersabar di atas ujian yang melanda mereka ekoran daripada angin ribut yang sangat dasyat,” katanya.
Razaili turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada penduduk kampung yang terjejas.
“Terima kasih juga kepada semua Ketua Masyarakat Dan Ketua Kaum (KMKK), agensi kerajaan terutama JKM Betong serta penduduk kampung kerana cepat bertindak dan menyantuni masyarakat di kawasan Beladin ini,” ucap beliau. – EDISI UKAS