SATU lagi inisiatif Kerajaan Negeri yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang bergelar ibu bapa apabila diputuskan setiap bayi yang baru lahir (anak Sarawak) akan diberi insentif Endowment Fund Sarawak (EFS) bernilai RM1,000 tanpa mengira etnik, kepercayaan agama dan status sosial mulai 2019.
Memetik kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lalu, Kerajaan Negeri membuat keputusan bagi memperkenalkan dasar baharu itu untuk memenuhi keperluan pendidikan atau memulakan kerjaya anak-anak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi bagaimanapun menjelaskan EFS itu hanya boleh dikeluarkan apabila anak tersebut mencapai usia 18 tahun sebagai usaha untuk membiayai persiapan awal kemasukan anak-anak ke institusi pengajian tinggi atau sebagai ‘capital grant’ untuk memulakan kerjaya.
Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM40 juta untuk tujuan tersebut dan mereka yang layak ialah warganegara Malaysia iaitu sama ada lahir di Sarawak atau di luar dengan kedua-dua atau salah seorang ibu bapa pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus 'K'.
Bagi anak angkat pula, kedua-dua atau salah seorang ibu bapa angkat mesti pemegang kad pengenalan Sarawak berstatus 'K' dan mempunyai sijil pengangkatan anak yang sah.
Kaedah pendaftaran EFS boleh dibuat di semua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau cawangan di seluruh Malaysia dengan mengisi borang EFS yang disediakan semasa membuat pendaftaran kelahiran.
Borang yang lengkap perlu diserahkan kepada JPN atau cawangan dan mereka seterusnya akan menghantar borang yang lengkap ke cawangan Bank Islam setiap dua minggu. Bank Islam akan memproses pendaftaran EFS.
Pemakluman pendaftaran akan dihantar oleh pihak bank ke alamat yang didaftarkan.
Sijil asal boleh dituntut di Bank Islam atau cawangan yang dinyatakan di dalam surat pemakluman.
Borang pendaftaran EFS boleh didapati daripada JPN atau cawangan mulai 1 Mac ini.
Apabila penerima genap 18 tahun, mereka boleh mengeluarkan EFS dengan mengemukakan MyKad ke Bank Islam atau cawangan.
-OSMAN RAZALI & INFOGRAFIK UKAS