ORDINAN KERAJAAN TEMPATAN DIPINDA SESUAI DENGAN LARANGAN MEROKOK DI PREMIS MAKANAN

SARAWAK akan meneliti Ordinan Kerajaan Tempatan 1996 berhubung larangan merokok di negeri ini.Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata ia termasuk memindanya agar selaras dengan undang-undang peringkat Persekutuan.

“Ordinan Kerajaan Tempatan akan diteliti dengan mengambil model yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk dipertimbangkan.

“Kita telah memberitahu Timbalan Menteri (Persekutuan) bahawa kita boleh berunding mengenai perkara ini kerana kita tidak boleh ada dua undang-undang yang bercanggah sesama sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg bersama isterinya, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang sempena Tahun Baharu Cina (TBC) di kediamannya, semalam.

Kerajaan Sarawak komited untuk menyelaraskan undang-undang yang akan dikuatkuasakan bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau, Akta Makanan 1983.

Sementara itu, Dr Sim berkata, Sarawak tidak pernah meminda Ordinan Kerajaan Tempatan sebelum ini.

“Cuma pada dua tahun lalu, di bawah DBKU mereka menyediakan zon merokok dan zon bebas asap rokok,” katanya.

DBKU sebelum ini mengadakan kempen anti merokok di kedai kopi menerusi undang-undang kecil kerajaan tempatan mereka sendiri, tetapi tidak semua majlis tempatan di Sarawak melakukan perkara sama.

Menurutnya, kerajaan Sarawak tidak pernah meminda ordinan itu dan penguatkuasaan yang ada sekarang adalah berlandaskan undang-undang di peringkat persekutuan.

Dr Sim dalam pada itu memberitahu penguatkuasaan larangan merokok itu perlu mengambil masa dan ruang untuk dilaksanakan.

“Kita perlu mempertimbangkan kepada yang merokok, sebab mereka perlu ruang, masa dan didikan dalam melaksanakan undang-undang larangan merokok,”ujarnya.

Sarawak akan menguat kuasakan larangan merokok di premis makanan dan minuman pada 1 Mac ini.

Hadir sama pada kunjungan itu, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi dan isterinya, Datin Saadiah Buji serta tetamu kenamaan yang lain.

-UTUSAN BORNEO ONLINE

Search