KETUA Menteri berkata, kerajaan negeri amat mementingkan keadilan antara masyarakat Islam dengan bukan Islam di Sarawak.
Sambil menegaskan sebagai pemimpin negeri amalan ini penting ditekankan, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pemimpin Islam dan bukan Islam di negeri ini cuba sedaya upaya memberi nikmat dan kemakmuran kepada semua kaum dan agama.
Mengambil contoh terbaik daripada Piagam Madinah, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kepemimpinan kerajaan Sarawak ialah contoh terbaik dari segi ini, yang mengutamakan perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
“Kita dapat saksikan perpaduan antara kaum yang cukup baik di Sarawak,” jelasnya pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Sarawak, kelmarin.
Sarawak terdiri daripada lebih 30 suku kaum, tetapi terkenal sebagai negeri yang aman dan harmoni dari segi hubungan etnik.
Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) ialah contoh kerajaan negeri mengutamakan semua agama di negeri ini.
Beliau berharap masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini terus mengekalkan perpaduan.
-SARAWAKVOICE (https://sarawakvoice.com/2019/02/27/sarawak-utamakan-keadilan-masyarakat-pelbagai-kaum/)