BAS elektrik yang pertama di Sarawak akan mula beroperasi pada 1 Mac nanti, dengan menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada orang ramai termasuk pelancong di bandar raya ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sebagai percubaan, tiada tambang dikenakan kepada penumpang selama tiga bulan.
“Untuk permulaan, kita menggunakan sebuah bas dahulu dan sesiapa sahaja boleh menumpangnya secara percuma sama ada orang tempatan atau pelancong,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Pelepasan Bas Bandar Elektrik CRRC di Kompleks Mahkamah Lama, di sini semalam.
Menjelas lanjut, beliau berkata jadual perjalanan bas elektrik tersebut bermula 7 pagi dari perhentian utama di Open Air Market di Jalan Power dan akan berhenti di setiap 25 perhentian yang ditetapkan di sepanjang laluan sehingga pukul 6 petang.
Perhentian-perhentian tersebut adalah kawasan Jambatan Darul Hana, Muzium Sejarah Cina, Tebingan Kuching, Jalan Abell, Padungan, Ang Cheng Ho, MBKS, iCom Square, Jalan Pending, Taman Rekreasi MBKS, SJK(C) Chung Hua No.3, Jalan Central Timur, Jalan Ban Hock, The Hills, Hotel Riverside Majestic, Main Bazaar, Pejabat Pos Besar Kuching, Muzium Sarawak, Wisma Satok @ Jalan Satok, Pusat Komersial Al-Idrus, Wisma ASSAR, Jambatan Satok, Jalan Kulas dan Jalan Haji Taha.
“Laluan yang dikenal pasti untuk perjalanan bas ini sangat menarik, yang merangkumi seluruh kawasan warisan di bandar raya Kuching sehingga ke iCom Square dan Satok,” katanya.
Abdul Karim juga berkata sekiranya perkhidmatan bas elektrik itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat dalam sepanjang tempoh percubaan, maka tempoh perkhidmatan percuma mungkin diteruskan kepada satu tahun atau menambah sebuah lagi bas seumpamanya.
“Ini adalah permulaan untuk kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di bandar raya ini, lebih-lebih lagi bas elektrik ini adalah mesra alam,” katanya.
Sementara itu, pengarah urusan HENZ Pacific Sdn Bhd selaku pengendali operasi bas elektrik tersebut, Henry Lai berkata ia menawarkan perkhidmatan yang mesra penumpang kerana turut menyediakan ruang untuk kerusi roda untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).