PUSA:
Projek-projek mega yang bakal dibina di Pusa mampu memberi impak positif kepada pembangunan di kawasan tersebut .
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, antara projek yang dijalankan adalah pembinaan Kompleks Sukan dengan kos RM25 juta, pembinaan masjid daerah Pusa dengan kos RM20 juta, tebingan sungai di sepanjang Sungai Rimbas dengan kos RM10 juta serta pusat niaga baru di tapak Tandang Sari Pusa dengan kos RM3 juta.
“Dengan siapnya projek mega di kawasan Pusa ianya akan memberi impak yang positif membolehkan Pusa menjadi pekan yang pesat serta dikunjungi orang ramai dari serata tempat.
“Hal ini juga termasuk jalan perhubungan yang dekat dengan bandar utama setelah siapnya Jambatan Batang Saribas dan Jambatan Batang Lupar nanti,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa di Kampung Kalok Pusa pada Ahad.
Selain itu katanya, jalan perkuburan di Kampung Kalok Pusa juga akan dinaiktaraf dengan kos RM500,000 bagi penduduk di sini termasuk Sekolah Kebangsaan Kalok yang baru sudah siap sepenuhnya dan akan beroperasi pada tahun ini.
Justeru, beliau menyeru agar penduduk kampung supaya sentiasa menyokong kerajaan kerana banyak pembangunan yang bakal dilaksanakan di kawasan Pusa.
Pada majlis tersebut, Razaili turut menyampaikan sumbangan sebanyak 23 bakul makanan kepada asnaf di Kampung Kalok dan 12 bakul makanan kepada asnaf daripada Kampung Dato Godam.
Beliau juga menyampaikan cek bernilai RM10,000 untuk Masjid Darul Ulum Kalok dan RM5,000 untuk Surau Darul Ibadah Kampung Kalok. -EDISI UKAS