SUNTIKAN TEKNOLOGI UiTM BANTU PERHEBAT INDUSTRI DI BETING MARO

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dijangka 'meminang' beberapa produk utama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak yang menggunakan teknologi terkini bagi memaksimumkan penggunaan sumber di kawasannya.

Katanya, beberapa projek (produk) sedang dalam pemerhatian untuk dilaksanakan secara kerjasama.

"Antaranya melibatkan agropelancongan yang memfokus kepada pembangunan produk setempat.

"Selain itu projek waste to wealth (biocompose dan biochar) daripada kelapa. Antara lain produk makanan ternakan daripada nanas, kelapa dan kelapa sawit," katanya.

Beliau bercakap demikian selepas hadir ke sesi Promosi Produk UiTM Cawangan Sarawak di Bilik Mesyuarat Utama Kampus Samarahan, semalam.

Menurutnya lagi, turut dalam cadangan ialah pembangunan komuniti melalui satu kampung satu industri dengan fokus projek pendidikan sepanjang hayat, pertanian pintar, internet of things (IoT), pertanian bersepadu, fertigasi, ternakan dan produk bernilai tinggi.

"Insha-Allah kita akan mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) selepas pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) UiTM melakukan kajian terperinci di lapangan dan mengemukakan kertas cadangan pada awal Mac depan," ujarnya.

Jelasnya, demi membangunkan industri besar di Beting Maro, sokongan pakar dan teknologi seumpama ini amat diperlukan agar setiap rancangan dan tindakan yang diambil selari dengan keperluan semasa.

Sesi yang bermula 10:00 pagi itu dipengerusikan oleh Timbalan Rektor Profesor Madya Dr Abang Zainoren Abg Abd Rahman.

Program turut diisi dengan sesi pembentangan 12 produk UiTM antaranya, waste to wealth, sustainable treated water treatment system for isolated area, rural residential sewage system, siswaprenuer, tunas usahawan, usahawan asnaf/mualaf, seminar aplikasi media sosial dalam agrobiz, BDU's opportunies engagement, smart farming, eco friendly material transformation and innovations (EMI), spent bleaching earth (SBE) dan pemerkasaan komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan.

Razaili turut dibawa melawat projek perintis UiTM.

-OSMAN RAZALI

Search