News

SEPERTI BELAJAR DI UNIVERSITI

PUSA: Sedikit nilai ‘kebebasan’ yang diberikan kepada guru dan pelajar ternyata membawa impak yang sangat besar terhadap kemenjadian yang diterjemah melalui keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Penolong Kanan SMK Pusa Kulana Nansi berkata, sekolah itu tersenarai dalam 22 sekolah yang mencapai keputusan STPM 2019 yang sangat memberangsangkan iaitu mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) melebihi 2.80.

 

“Daripada 83 sekolah, kita berada di tangga ke-11 seluruh Sarawak dengan PNGK 3.01 iaitu berlaku peningkatan yang cukup ketara. Tahun lepas SMK Pusa berada pada kedudukan ke-18 (PNGK 2.99). “Lebih menggembirakan ia melepasi PNGK Sarawak (2.66) dan Kebangsaan (2.77).

“Kalau di Bahagian Betong dan Sri Aman kita merupakan yang terbaik. Jadi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menghasilkan keputusan sebaik ini termasuk sumbangan para guru yang bekerja keras.

“Bagi saya, ini merupakan impak kepada kebebasan yang diberikan pentadbir sekolah kepada para guru dan pelajar Tingkatan Enam,” katanya. Beliau yang kini menjalankan tugas pengetua berkata demikian pada Majlis Penyerahan Slip Keputusan STPM SMK Pusa yang berlangsung di Dewan Tandang Sari, semalam.

 

Jelasnya, pelajar Tingkatan Enam di SMK Pusa bebas menggunakan baju dan rasionalnya untuk menyediakan mereka ke alam pekerjaan. “Di sini, mereka tidak digelar murid sebaliknya pelajar.

“Selepas itu kita turut mengubah jadual kelas agar tidak sama dengan kelas perdana. Mereka sedikit lambat memulakan sesi dan menetapkan pulang sesuka hati bergantung kepada guru seperti sistem di universiti.

“Proses yang berlaku atau corak belajar yang dipraktikkan ini nampaknya disenangi guru dan pelajar sehingga wujud pembelajaran yang berkesan. Buktinya, sejak beberapa tahun ini SMK Pusa mampu bersaing dengan sekolah elit lain,” ujarnya.

 

Kulana menambah, SMK Pusa tahun ini turut melakar sejarah apabila seorang calon beroleh keputusan semua A atau PNGK 4.00 iaitu Erdatin Syurgani Mohamad Yakup berasal dari Kampung Hulu Pusa.

Seramai 25 daripada 51 calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas. Sembilan daripada mereka mendapat keputusan semua A (termasuk A-) iaitu Erdatin, Anis Natasha Suib, Munna Hafira Niza Drahman, Nur Minhalina Mohamad Yadi, Nur’ Ruzieyane Rudy, Nuryasmin Musa, Siti Normarina Ismail, Nur Hazwani Abdullah dan Nurulhaifa Azlin Abdullah.

Kesemua 51 calon layak mendapat sijil. Bagi pencapaian subjek, Nilai Gred Mata Pelajaran (NGMP) untuk Pengajian Am dicatat 3.08, manakala Bahasa Melayu 2.95 dengan Sejarah 2.94 serta 2.79 dan 3.30 masing-masing bagi subjek Perniagaan dan Seni Visual.

 

Slip keputusan disampaikan oleh Kulana dan hadir sama Penolong Kanan Tingkatan Enam Ramli Ayong, Penyelaras Tingkatan Enam Abu Talip Junaidi serta guru-guru Tingkatan Enam.

 

Search