News

Rohani dilantik Penasihat Khas Pejabat Ketua Menteri

KUCHING: Timbalan Ketua Wanita II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Perkara itu diumum oleh Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB merangkap Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Pergerakan Wanita Parti PBB di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako, hari ini.
Sementara itu, Rohani ketika diminta mengulas pelantikan itu berkata, beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri pada Mei lalu.
“Ia merupakan lantikan peringkat negeri, menjalankan tugas-tugas khas termasuk di luar bandar untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.
Menurut Rohani, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, sebelum ini, maka pergerakan terbatas melainkan hanya memberi tumpuan kepada agihan sumbangan makanan kepada masyarakat luar bandar.
“Saya akan melaksanakan tugas itu setelah menerima arahan daripada Pejabat Ketua Menteri dan saya juga sudah mula bergerak pada minggu lalu, iaitu di peringkat Persekutuan,” katanya sambil menambah lantikan itu satu penghormatan buat wanita.
 
 

Search