News

Kerajaan GPS Pilihan Terbaik, Utamakan Keperluan Rakyat

PUSA: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg adalah pilihan yang terbaik kerana sentiasa mengutamakan keperluan rakyat.
Ahli Parlimen Batang Lupar merangkap Penasihat di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata keprihatinan kerajaan boleh diterjemahkan melalui pelbagai pelan pembangunan serta sentiasa memenuhi janji dengan mengutamakan hak Sarawak.
Tegasnya, dengan apa yang telah dilaksanakan Kerjaaan Sarawak sehingga ke hari ini, tiada sebab untuk rakyat tidak menyokong GPS khususnya pada pilihan raya yang akan datang.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Geran Peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) Ahli Parlimen Batang Lupar Tahun 2020 di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri Malaysia pagi tadi.
Sebanyak RM349,500 geran peruntukan MRP dan PMR diagihkan kepada kepada pihak sekolah, surau, masjid dan JKKK dengan PIBG SMK Pusa dan SMK Beladin menerima RM20,000 dan sembilan buah sekolah rendah masing-masing menerima RM5,000.
Sejumlah RM66,000 lagi diagihkan untuk 11 buah sekolah dalam DUN Beting Maro untuk keperluan pembelian dua set laptop dan satu mesin pencetak kepada sekolah.
Manakala 23 surau dan masjid di kawasan Beting Maro menerima peruntukan sebanyak RM80,500 untuk set mandian jenazah selain RM66,500 lagi diperuntukkan kepada 19 JKKK bagi tujuan pelaksanaan aktiviti/program manfaat kepada rakyat. – EDISI UKAS

Search