PUSA: Seorang warga emas dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah setelah pergi ke kebunnya dekat sini, sejak pagi semalam.
Wanita berkenaan dikenali dikenali sebagai Rahobah Murni, 75, atau lebih popular disapa Ngah Rokbah.
Menurut Ketua Kampung Suria Azmie, dia pergi ke kebunnya berseorangan dan lazimnya akan pulang sekitar 2:00 petang.
"Tetapi, semalam kelibatnya tidak kelihatan. Penduduk yang berusaha mencari sejak petang hingga malam tadi masih gagal menemukan Ngah Rokbah.
"Mereka hanya menemukan bekas makanan yang dijadikan bekalnya di pondok kebun," katanya malam tadi.
Difahamkan juga warga emas terbabit menghidap masalah kurang pendengaran dan penglihatan.
Dia kali terakhir dilihat menggunakan seluar sukan berwarna gelap dan berbaju kelabu.
Ketua Bomba dan Penyelamat Saratok Nazry Mohamat ketika dihubungi mengesahkan operasi SAR akan digerakkan 8:00 pagi ini bersama polis, APM dan penduduk.