News

LATIH BELIA DALAM PERTANIAN MODEN

BELADIN: Terdapat rancangan untuk mewujudkan kawasan fertigasi terbuka yang berfungsi sebagai pusat latihan kepada belia Beting Maro mendalami, seterusnya menguasai ilmu pertanian pintar yang semakin popular.



Adun Beting Maro Razaili Gapor berkata, pentadbirannya pada penggal ketiga ingin memfokuskan kepada perhebatkan pertanian moden dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda.

Sehubungan itu katanya, beberapa rumah hijau diwujudkan dengan satu pusat pelbagai jenis fertigasi sedang diusahakan dengan menerapkan penggunaan teknologi Internet Kebendaan (IoT).

"Tujuan kita hendak melatih masyarakat terutama belia dalam pertanian moden.

"Di seluruh kawasan Masjid Beladin al-Amin ini akan dijadikan lokasi fertigasi terbuka. Maknanya, kita akan memudahkan urusan belia menimba ilmu.

"Apabila kita hendak menganjurkan kursus pertanian pintar misalnya, boleh diadakan di sini dan masyarakat kita tidak perlu pergi jauh. Insya-Allah selepas Aidilfitri kita mulakan secara berperingkat-peringkat," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Beting Maro berkata demikian seusai Mesyuarat Agung Tritahunan dan Pemilihan Ahli Jawatankuasa Saberkas Cawangan Beting Maro Sesi 2023-2026 di sini, Selasa.

Mohamad Shafizan Haji Kepli Pusat khidmat N29 Beting Maro Saberkas Negeri Sarawak Saberkas Beting Maro

Search