SABTU, 15 JULAI 2023
PUSA: Perpaduan dan integrasi adalah ramuan utama untuk mencapai kestabilan ekonomi, sosial dan politik dalam sesebuah masyarakat majmuk di Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohamad Razi Sitam menjelaskan perpaduan tidak datang bergolek sebaliknya perlu dipupuk dan ditanam dalam komuniti sejak kecil supaya nilai tersebut dapat dihayati sepanjang hayat.
Justeru, beliau memuji inisiatif Majlis Pembangunan Sosial (MPS) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dengan menganjurkan Program Randau Solidariti Komuniti (RSK) dalam usaha memperkasa komuniti dan sosial di seluruh Sarawak.
“Melalui aktiviti solidariti komuniti, perkongsian bersama agensi pembangunan sosial, forum solidariti, ziarah keluarga dan sukan solidariti komuniti yang telah dilaksanakan.
“Para peserta dapat menghayati akan nilai dan kepentingan hubungan baik agar hubungan berkualiti dapat ditingkatkan tanpa mengira jantina, peringkat umur, etnik dan agama.”
Beliau berucap demikian pada Majlis Penangguhan Program Randau Solidariti Kominiti (RSK) Kawasan Sungai Undai di Rumah Remi, Muton Kara pada Jumaat.
Katanya, di kawasan DUN Beting Maro pelbagai program telah dipohon oleh wakil rakyatnya, Razaili Gapor bagi kepentingan rakyat di kawasan itu kepada kementerian.
“Program Randau Solidariti telah dilaksanakan di beberapa tempat dan peringkat dan kali ini lebih ditumpukan kepada kawasan Bahagian Betong.
“Randau Solidariti ini memudahkan kita untuk mencapaikan atau mewujudkan kebersamaan serta perpaduan demi mencapai negeri Sarawak yang lebih maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Berkongsi lanjut, beliau menjelaskan pengisytiharan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia adalah di luar jangkaan kerana ianya diisytiharkan lebih awal dari sasaran Sarawak.
Terdahulu, Razaili mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian terutama Mohamad Razi kerana telah memilih beberapa kawasan di DUN Beting Maro untuk diadakan Randau Solidariti pada kali ini.
Ujarnya, penduduk di kawasan itu harus berasa bangga dan bersyukur kerana tidak dipinggirkan oleh kerajaan dalam apa jua jenis pembangunan.
Katanya, penerangan dan pendedahan yang telah dibuat oleh agensi kerajaan perlu dimanfaatkan oleh semua penduduk bagi mendapatkan perkhidmatan yang sepatutnya daripada pihak kerajaan. – EDISI UKAS