News

Kestabilan Politik Pacu Pembangunan Sarawak

PUSA: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro kini sedang membangun hasil daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk menjadikan negeri ini maju menjelang tahun 2030.



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata Sarawak sudah jauh ke hadapan berkaitan dengan tuntutan autonomi berbanding dengan Sabah dengan yang terkini pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dari kerajaan pusat selain MASwings dan Affin Bank.

Katanya, Kerajaan Sarawak juga kini mempunyai pelan pembangunan untuk meningkatkan hasil pertanian sekali gus dapat meningkatkan pendapatan negara.

Menurut beliau, Sarawak juga sedang mengusahakan penghasilan Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) berasaskan alga atau lumut dan tenaga solar di Batang Ai.

Jelas beliau, semua ini terhasil kerana kestabilan politik di Sarawak.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Bersama KMKK, Ranting PBB N 29 Beting Maro di Dewan Seminar Al Amin Beladin, Pusa pada Sabtu.

Sementara itu, beliau mengingatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk memainkan peranan penting dengan menyebarluaskan inisiatif-inisiatif Kerajaan Sarawak kepada umum.
Katanya, masih terdapat banyak maklumat dari pihak kerajaan yang tidak sampai kepada rakyat.

Beliau juga menyeru supaya parti peringkat cawangan dan ranting membuat persediaan bagi Konvensyen Parti PBB yang akan diadakan pada Januari 2025 dengan menyediakan segala maklumat berkaitan dengan parti antaranya berkaitan dengan keahlian dan minit mesyuarat-mesyuarat yang telah diadakan. - EDISI UKAS

Search