News

JAJA CERITA LAPUK DI MEDIA SOSIAL, TAK SELESAIKAN MASALAH PENDUDUK

'BERKOKOK’ di media sosial dengan memainkan isu lapok tidak menyelesaikan masalah, kata Ketua Kampung Semarang Suria Azmie.

Katanya, isu hakisan tanah yang berlaku di sepanjang tebing berhampiran kawasan masjid dan tanah perkuburan lama masyarakat Islam Kampung Semarang diutarakan semula oleh sebuah akhbar nasional bertarikh 8 Februari yang menyatakan seolah-olah masih tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berwajib.

“Peliknya pengadu yang difahamkan seorang Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembangunan Kampung Masjid Lama Semarang dilihat sama ada tidak peka atau sememangnya menidakkan apa yang dilakukan oleh pihak bertanggungjawab.

“Malah, beliau mahu Kerajaan Negeri bertanggungjawab untuk membina benteng penahan ombak bagi mengatasi masalah hakisan sedangkan peruntukan RM6.5 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan (Barisan Nasional) sebelum ini untuk rancangan projek kawalan hakisan pantai kini senyap sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih.

“Jadi bagi saya, tindakan terus menularkan perkara yang sama tidak menyelesaikan masalah sedangkan kami penduduk kampung bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dan Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim serta agensi kerajaan yang lain sudah mengambil beberapa tindakan drastik,” katanya kepada Sarawakvoice di sini, hari ini.

Jelasnya, antara usaha yang telah diambil ialah mengalihkan kubur lama secara berperingkat ke tanah perkuburan baharu yang sudah lebih dua tahun digunakan.

“Selain itu, menanam 120 tiang cerucuk konkrit di sepanjang lebih 30 meter dekat kawasan yang terjejas. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Hutan Sarawak untuk projek tanaman bakau.

“Dalam masa yang sama, kita melalui Ahli Parlimen akan terus mendesak Kerajaan Pusat untuk meneruskan pelaksanaan projek kawalan hakisan pantai sepertimana yang diluluskan oleh Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika memegang Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Pejabat Daerah Pusa pula difahamkan akan memajukan permohonan, meminta peruntukan khas dianggarkan RM6.5 juta daripada Kerajaan Negeri bagi membina dinding penghadang hakisan,” ujarnya.

Tambah Suria, siapa pun sedih melihat keadaan masjid dan tanah perkuburan lama yang diancam hakisan. Apatah lagi nenek moyang, saudara mara sendiri turut dikebumikan di situ.

“Sebab itu dari dahulu lagi pimpinan akar umbi berusaha keras untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Harapan penduduk Semarang amat besar agar kerajaan PH tidak mendiamkan diri atau memberi alasan faktor kewangan untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Source: SARAWAKVOICE

Search