RABU, 03 NOVEMBER 2021
PUSA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Ghapor telah mengadakan perjumpaan bersama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kampung Tambak, Pusa pada Selasa.
Beliau memberitahu, Sarawak sudah dekat menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dan kawasan Beting Maro sudah siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan PRN akan datang.
“Ingat pesan arwah Tok Nan, jaga Sarawak dengan baik dan jangan sesekali DUN Beting Maro dipegang oleh parti Malaya, PBB merupakan parti tempatan dan kita anak Sarawak perlu menjaga negeri kita dengan baik,” jelasnya ketika berucap pada majlis tersebut.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Sarawak sangat prihatin dengan masalah di kawasan luar bandar serta terdapat banyak kemajuan yang telah dicapai di kawasan Daerah Pusa khususnya di Beting Maro.
Sementara itu, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan untuk program kebajikan Beting Maro dari segi pendidikan, kematian, bantuan untuk pesakit ke hospital dan lain-lain.
Selain itu, Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Saribas, Pusa merupakan mercu pembangunan mega di Daerah Pusa khususnya di kawasan Beting Maro dan seterusnya akan memberi impak yang baik untuk kawasan itu.
Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk Kampung Tambak supaya mengekalkan hubungan silaturahim serta perlu menjaga parti PBB untuk kestabilan politik di Sarawak.-EDISI UKAS