PUSA: Seramai 60 mangsa ribut yang terjejas di Kampung Beladin, di sini menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat N29 Beting Maro, pada Jumaat.
Sumbangan berupa bantuan kewangan bernilai RM103,000 dan bakul makanan itu telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor dalam satu majlis ringkas di Dewan Al Amin Kampung Beladin.
Semasa berucap, Razaili menyatakan rasa syukur kerana tiada nyawa yang terkorban dalam bencana tersebut dan memberitahu bahawa sumbangan seumpamanya adalah langkah pertama dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan komitmen kerajaan Sarawak yang sentiasa bersedia membantu rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa mahupun agama.
"Saya ingin menekankan bahawa tiada diskriminasi dalam penyampaian bantuan.
"Setiap mangsa yang terjejas akan menerima bantuan berdasarkan kadar kerosakan yang telah dinilai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Bantuan ini bukan sahaja bertujuan untuk mengganti kerugian, tetapi juga untuk meringankan beban yang dipikul oleh mangsa," katanya semasa berucap di majlis berkenaan.
Turut hadir ialah Penghulu Kampung Beladin Mahbang Labek, Ketua Kampung Hilir Beladin Awang Subhi Awang Halil, Ketua Kampung Tengah Beladin Naali Aie dan Ketua Kampung Hulu Beladin Hassan Aman.-Edisi UKAS