PUSA:
Rakyat Sarawak diseru supaya terus mengekalkan perpaduan dalam kalangan rakyat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor menegaskan, rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini terutamanya di konstituensinya harus sentiasa menjaga hubungan baik antara satu sama lain.
"Saya menggesa agar rakyat terutamanya di Pusa untuk sentiasa menjaga perpaduan yang menjadi tunjang kepada keharmonian kita di Sarawak.
“Oleh itu, jangan sesekali kita berpecah belah kerana ianya akan merugikan kita. Jaga perpaduan, jaga hubungan antara kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ihya Ramadan di Masjid Rahmaniah Pusa pada Isnin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli dalam ucapannya turut senada dengan menyeru kepada penduduk di Kampung Pusa khususnya di kawasan Batang Lupar menjaga hubungan silaturahim dan kekalkan perpaduan agar rakyat sentiasa bersatu dalam apa jua keadaan.
Dalam majlis sama, Razaili bersama Mohamad Shafizan turut menyampaikan sumbangan 60 bakul makanan kepada asnaf di kawasan Pusa.
Turut disampaikan, sumbangan berbentuk kewangan kepada 14 bakal haji pada tahun ini.
Pusat Khidmat Beting Maro juga menyumbang RM20,000 kepada jawatankuasa pengurusan masjid Rahmaniah Pusa dan sumbangan duit raya kepada jemaah yang hadir. -EDISI UKAS