JUMAAT, 13 JANUARI 2023
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada ahli jawatankuasa Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan beberapa senarai projek yang dicadangkan di bawah peruntukan BDDA untuk bahagian Betong.
Katanya, senarai projek fasa 1 BDDA merangkumi beberapa sektor utama antaranya Sektor Pembangunan Infrastruktur, Sektor Pembangunan Sosial, Sektor Pembangunan Perniagaan Dan Usahawan, Sektor Pembangunan Agro-Pertanian, Sektor Pembangunan Pelancongan dan Persekitaran, Sektor Pembangunan Utiliti dan Telekomunikasi serta Sektor Pengurusan Wanita.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Micheal Abunawas.-EDISI UKAS