PERSATUAN Pengadil Bola Sepak Sarawak dengan kerjasana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Beting Maro akan menganjurkan Kursus Pengadil Kelas Tiga.
KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah menerima kunjungan hormat daripada ahli jawatankuasa Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang diketuai Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Jumaat.
Menurut Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak, kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan beberapa senarai projek yang dicadangkan di bawah peruntukan BDDA untuk bahagian Betong.
Katanya, senarai projek fasa 1 BDDA merangkumi beberapa sektor utama antaranya Sektor Pembangunan Infrastruktur, Sektor Pembangunan Sosial, Sektor Pembangunan Perniagaan Dan Usahawan, Sektor Pembangunan Agro-Pertanian, Sektor Pembangunan Pelancongan dan Persekitaran, Sektor Pembangunan Utiliti dan Telekomunikasi serta Sektor Pengurusan Wanita.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Kalaka Mohamad Duri, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong, Micheal Abunawas.-EDISI UKAS
KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah menubuhkan jawatankuasa kerja bagi melancar dan memastikan semua projek agensi tersebut disiapkan seperti yang dijadualkan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi BDDA, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, perancangan terperinci penting untuk mencapai objektif penubuhan BDDA.
“Kita mesti mempunyai rancangan yang strategik dan menyusun aliran perbelanjaan dengan baik.
“Ini kerana, agenda BDDA adalah memastikan semua projek dapat disiapkan tepat pada masanya,” katanya semasa menutup Makmal Strategi Pembangunan BDDA 2030 di sini, pada Rabu.
Mengenai peranan jawatankuasa itu, beliau menambah, mereka akan menyemak dan menilai semua projek yang dicadangkan untuk dilaksanakan dan memastikan tiada pertindihan projek dengan projek daripada jabatan dan agensi kerajaan lain.
Ujarnya, proses pemantauan amat penting kerana banyak projek kini sedang dilaksanakan.
“Objektif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah untuk membangunkan Sarawak di mana kita perlu melaksanakan projek.
“Kita menjangkakan semua projek dapat disiapkan mengikut masa yang ditetapkan dan begitu juga harapan rakyat.
“Tetapi jika ini ditangguhkan, misalnya sehingga empat atau lima tahun, kita sebagai pemimpin akan dikecam,” tambahnya.
Sementara itu, jawatankuasa kerja tersebut dibarisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Dato Gerald Rentap Jabu yang bertanggungjawab bagi Pembangunan Infrastruktur dan ADUN Saribas, Mohd Razi Sitam menjaga Pembangunan Sosial.
Manakala ADUN Krian, Friday Belik akan menjaga Pembangunan Pertanian, ADUN Beting Maro Razaili Gapor (Pembangunan Perindustrian dan Komersial), ADUN Kalaka Mohamad Duri (Utiliti dan Telekomunikasi), ADUN Kabong Mohd Chee Kadir (Pelancongan dan Alam Sekitar) dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor (Jawatankuasa Wanita).
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas Uggah berharap setiap ADUN yang diberi tanggungjawab itu dapat menubuhkan jawatankuasa masing-masing dalam masa terdekat.
Beliau juga memohon mereka membuat rancangan kerja dan menyediakan program aliran tunai untuk projek yang dicadangkan.
“Seterusnya kita akan mengemukakan permohonan dana untuk projek kepada Setiausaha Kewangan Negeri.
“Kita jangan lupa BDDA bukan satu-satunya agensi pembangunan wilayah yang memohon dana.
“Oleh demikian, pembentangan bajet perlu tersusun dan sistematik agar kita mudah lagi mendapatkan dana,” jelasnya.
Dalam ucapannya, Penasihat Sains kepada kerajaan negeri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu menyeru semua untuk bekerja dengan dedikasi, kepintaran, disiplin dan integriti bagi menjayakan objektif penubuhan BDDA. -EDISI UKAS