08 DISEMBER 2022
BETING MARO: Warga pendidik menjadi tonggak utama untuk pendidikan pelajar khususnya di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, warga pendidik harus memberikan pendidikan yang secukupnya demi mencorak masa hadapan yang cerah kepada pelajar.
Beliau menyatakan, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu sistem pendidikan di negara ini terus maju.
Razaili berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam 202 PIBG/Komuniti SK Beladin di Dewan Masyarakat Kampung Beladin, Pusa pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan baharu telah pun diwujudkan dan kerajaan perpaduan telah dipilih untuk mentadbir negara.
Beliau turut mengharapkan kabinet baru yang dibentuk ini dapat membawa perubahan terutama dalam sistem pendidikan di Sarawak.
"Saya berharap Kerajaan Perpaduan ini dapat mentadbir negara dengan stabil, aman serta memajukan negara dengan baik," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sekolah uzur akan terus dibaiki dan membawa isu sekolah daif ke peringkat atasan.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan tabung darurat untuk kerajaan menyumbang ke arah pembangunan di Sarawak.
Jelasnya, Sarawak kini mempunyai pendapatan yang besar setiap tahun sambil memuji pimpinan Premier Sarawak yang bijak dalam mencari kaedah dan pendapatan untuk Sarawak. - EDISI UKAS