KHAMIS, 26 JANUARI 2023
KUCHING: Pembinaan Jambatan Batang Saribas di jalan pesisiran pantai yang menghubungkan Pusa-Beladin kini sudah mencapai tahap 60.93 peratus siap.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shahfizan Kepli berkata, kemajuan mengenai jambatan itu telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu mesyuarat bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 9 Januari lepas.
“Dalam mesyuarat bersama Timbalan Premier Sarawak pada 9 Januari lepas, pihak JKR telah membentangkan laporan kemajuan jambatan ini siap 60.93 peratus dan dijangkakan siap sepenuhnya pada 15 Ogos 2024,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang dimuatnaik pada Rabu.
Mohamad Shahfizan memaklumkan, kerja-kerja pembinaan jambatan berkenaan kini sedang rancak dilaksanakan.
“Pembinaan Jambatan Batang Saribas ini bernilai RM375,500,000 yang dibiayai keseluruhan kosnya oleh kerajaan Sarawak.
“Jambatan ini mula dibina pada 3 Jun 2019 dan pelaksanaannya mengalami penangguhan susulan pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan kini kembali giat dilaksanakan,” jelas beliau.
Beliau berkata, apabila siapnya jambatan itu kelak, ia akan memendekkan masa perjalanan tanpa menggunakan perkhidmatan feri lagi. -Edisi UKAS