News

LULUSKAN SEGERA PERUNTUKAN SELENGGARA SEKOLAH

KEMENTERIAN Kewangan digesa mempertimbang dan meluluskan segera peruntukan untuk menyelenggara sekolah kebangsaan dan sekolah agama negeri.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Ahmad Malie berkata, ia sebagaimana yang dipohon oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“KGBS berpandangan kelewatan kelulusan peruntukan yang dipohon KPM bagi sekolah kebangsaan dan sekolah agama menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat umum,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Tambah Ahmad persepsi sedemikian seolah-olah KPM mengabaikan kebajikan sekolah kebangsaan dan sekolah agama negeri.

Sehubungan itu untuk kelihatan lebih seimbang KGBS menggesa Kementerian Kewangan dapat meluluskan segera peruntukan tambahan oleh KPM itu.

“Dengan itu, KPM dapat mengagih serta membantu sekolah kebangsaan dan sekolah agama negeri dengan segera.

“Ia demi kebajikan warga guru dan murid-murid di sekolah berkenaan,” tegasnya.

Selain itu KGBS katanya memuji langkah KPM memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewamgan bagi menyelenggara sekolah kebangsaan dan sekolah agama negeri.

Ia katanya, diumumkan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik baru-baru ini.

“KGBS menggesa Kementerian Kewangan dapat mempertimbangkan serta untuk meluluskan permohonan peruntukkan tambahan oleh KPM itu dengan segera,” katanya.

Sebelum ini Maszlee berkata beliau telah mengemukakan permohonan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk mendapatkan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah-sekolah agama negeri.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, KPM malahan berkata perkara itu masih dalam pertimbangan Kementerian Kewangan.

“Oleh itu, tanggapan mengatakan menteri dan KPM tidak mengambil berat tentang kebajikan murid dan sekolah khususnya yang membabitkan sekolah kebangsaan dan sekolah agama adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Source-  UTUSAN BORNEO ONLINE

Search