SABTU, 23 DISEMBER 2023
PUSA: Penganjuran Karnival Beting Maro (KBM) merupakan inisiatif proaktif dalam memajukan ekonomi tempatan, menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohamad Razi Sitam.
Katanya, KBM 2023 menjadi platform penting dalam mempromosikan produk-produk pertanian dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro terutamanya di Daerah Pusa dengan tujuan untuk memasarkannya kepada masyarakat di luar kawasan.
“Selain itu, pendedahan dan pendidikan mengenai dasar-dasar, arah tujuan serta pelbagai kemudahan yang diperkenalkan oleh kerajaan kepada pengusaha pertanian di kawasan ini akan memberikan pengetahuan terkini dan sokongan kepada komuniti usahawan tempatan.”
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Perasmian Karnival Beting Maro 2023 di Dataran Temenggung Kadir Beladin, Pusa pada Sabtu.
Katanya, Kerajaan memahami bahawa aktiviti pelancongan dan pembangunan komuniti bukan hanya membawa manfaat kepada kawasan bandar dan luar bandar tetapi juga sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Justeru katanya, Kerajaan Sarawak melalui kementerian beliau memberikan sokongan melalui pelbagai inisiatif dan perancangan pelbagai program pembangunan kesejahteraan komuniti.
“Saya mengharap agar inisiatif seperti ini diteruskan demi untuk bersama-sama mengangkat hasil produk tempatan, destinasi yang menarik dan budaya asli di kawasan Beting Maro ini khususnya di Daerah Pusa dan perkampungan berdekatan.”
Di akhir ucapannya, beliau mengumumkan sebanyak RM10,000 kepada pihak penganjur bagi meringan beban penganjuran karnival pada masa akan datang.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berharap karnival tersebut diangkat menjadi suatu acara yang yang menggalakkan kegiatan ekonomi dan pelancongan masyarakat setempat selain menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Menurutnya, karnival itu juga unik kerana turut mengetengahkan seni kebuayaan seperti bertandak melayu asli Sarawak serta nyanyian lagu irama asli.
Dalam pada itu, Razaili menjelaskan sebanyak 40 unit rumah kos rendah akan dibina di Pusa bagi memberi kemudahan kepada semua rakyat yang layak mendapatkannya. – EDISI UKAS