KHAMIS, 21 DISEMBER 2023
PUSA: Kerajaan Sarawak komited dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor berkata, dalam usaha itu kerajaan juga telah banyak menyediakan geran atau pinjaman untuk penduduk di Sarawak.
“Oleh itu, kita mestilah bersama dengan pihak kerajaan untuk mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat Penerangan “Inisiatif Dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) Karajaan Negeri Sarawak di Dataran Temenggung Kadir Beladin, Pusa pada Rabu.
Jelasnya lagi, di kawasan Beting Maro, amat sesuai dijadikan sebagai pusat pengeluaran produk berasaskan pertanian dan perikanan dalam membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan ini.
“Di kawasan ini produk berasaskan apong mahupun nipah juga berpontensi untuk dimajukan serta memberi pendapatan yang lumayan kepada pengusahanya,” ujarnya.
Justeru beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada penduduk setempat kerana meluangkan masa untuk mendengar taklimat yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan.
Antara topik yang disampaikan adalah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Ekonomi Hijau, Inisiatif Kerajaan Sarawak Di Bawah Pimpinan, Bantuan Kewangan Perumahan dan Skim Bantuan Sewaan Perumahan.-EDISI UKAS