PUSA: Kerajaan Sarawak komited meneruskan usaha memastikan pendidikan di wilayah ini berada pada landasan yang tepat, tanpa bergantung sepenuhnya kepada usaha Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, beberapa inisiatif telah diperkenalkan antaranya pemberian wang saku dan komputer riba kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), selain bantuan untuk menyelesaikan sebahagian hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi pelajar Sarawak.
Namun menurutnya, meskipun sokongan kewangan telah diberikan, masih terdapat jurang dalam pencapaian akademik, terutama dalam kalangan pelajar Sarawak yang gagal memenuhi syarat kemasukan IPT.
"Isu sebenar yang menyebabkan jurang pendidikan ini adalah kerana pencapaian akademik pelajar Sarawak yang tidak memenuhi kriteria kemasukan ke IPT, bukan masalah kewangan, kerana kerajaan telah menyediakan banyak bantuan untuk memastikan pelajar Sarawak tidak tercicir dalam arus pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Perkongsian Inisiatif Pendidikan Kerajaan Sarawak kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah di Daerah Betong, bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Beladin pada Sabtu.
Sebagai tindak balas kepada isu ini, Datuk Dr. Annuar memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan program tuisyen atau kelas bimbingan tambahan percuma di sekolah-sekolah untuk membantu pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa untuk menyokong sepenuhnya inisiatif ini demi masa depan pendidikan anak-anak mereka.
"Galakan daripada ibu bapa adalah amat penting dalam menyahut agenda kerajaan ini kerana tanpa galakan, usaha ini menjadi sia-sia dan merugikan semua pihak," tambahnya lagi.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor dalam ucapannya juga mengingatkan ibu bapa agar tidak hanya bergantung kepada guru dalam mendidik anak-anak, sebaliknya mereka juga perlu memainkan peranan aktif dalam proses pendidikan di rumah.
Tegasnya, kejayaan pendidikan anak-anak memerlukan usaha bersama antara sekolah dan keluarga, dengan ibu bapa berperanan sebagai pemangkin utama dalam membentuk persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran di rumah.
Dalam majlis itu, Datuk Dr. Annuar mewakili kementeriannya turut menyumbang dana sebanyak RM5,000 kepada SK Beladin dan SK Maludam.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap MEITD Adana Jed, Setiausaha Politik Premier Sarawak Sayed Azmee Wan Junaidi, Pegawai Daerah Pusa Jamain Wahab, Pegawai Tadbir Khas MEITD Wes Mirid, Pegawai Pendidikan Daerah Betong Mohamad Lela Alamsah, Pengetua Yayasan Sarawak International Secondary School Jimali Sunang serta wakil Guru Besar SK Beladin.-EDISI UKAS