PUSA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa menjadi tumpuan Sabtu lalu apabila menjadi tuan rumah Majlis Penangguhan Kursus Pelajar Melayu-Islam Cemerlang (KPMIC) 2023, sebuah program yang bertujuan menyemai semangat kecemerlangan akademik dan memberi inspirasi kepada pelajar di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee, dalam ucapannya menekankan kepentingan fokus terhadap pelajaran sebagai asas pembentukan masa depan yang berjaya.
“Sebagai pelajar, tugas utama anda adalah belajar dengan bersungguh-sungguh. Berikan tumpuan penuh di dalam kelas dan jangan malu bertanya jika tidak memahami sesuatu.
“Masa depan yang cerah hanya dapat dicapai melalui ilmu pengetahuan,” katanya dalam Majlis Perasmian Penangguhan Kursus Pelajar Melayu- Islam Cemerlang ( KPMIC) 2023 di SMK Pusa pada Sabtu.
Pemilihan SMK Pusa sebagai lokasi program, menurut beliau, adalah berdasarkan prestasi cemerlang sekolah itu sebelum ini.
Datuk Dr. Annuar turut menyeru pelajar agar tidak ketinggalan dalam memanfaatkan inisiatif kerajaan seperti program tuisyen dan pembangunan lain di sekolah.
“Saya berharap semua pelajar menggunakan peluang ini untuk terus cemerlang, sekaligus menyumbang kepada pembangunan negeri kita,” tambahnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa KPMIC, Awangku Azizul Awangku Omar, menyatakan bahawa isu penurunan prestasi pelajar dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi kebimbangan utama.
“Program ini dianjurkan secara bersiri di seluruh Sarawak untuk memberi motivasi dan kefahaman kepada pelajar.
“Selepas SMK Sunda Lawas dan SMK Agama Sibu, SMK Pusa menjadi destinasi ketiga bagi program ini,” jelasnya.
Menurut beliau, kursus ini dirangka untuk membantu pelajar memahami cabaran kehidupan melalui pendekatan intelektual dan motivasi yang menyeluruh di samping menangani isu penurunan prestasi akademik.
“Kami mahu pelajar bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran tetapi juga bersedia menghadapi cabaran kehidupan yang akan datang,” tambahnya.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Betong Maro Razaili Gapor, Pengetua SMK Pusa Saini Bakar serta tetamu lain.-EDISI UKAS