News

Kerajaan negeri peruntuk RM1.5 bilion untuk bangunkan kawasan bakul makanan

PUSA: Kawasan Muton Undai di Pusa akan dijadikan kawasan pengeluaran produk berasaskan pertanian sebagai sumber utama ekonomi.
Menurut ADUN Beting Maro Razaili Gapor, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari telah meluluskan bajet berjumlah RM1.5 bilion untuk menyediakan infrastruktur pertanian dari kawasan Triso hingga Igan meliputi bahagian Betong, Sarikei dan Mukah.
“Ketua Menteri telah meluluskan RM1.5 bilion untuk menyediakan infrastruktur pertanian dari Triso hingga Igan meliputi bahagian Betong, Sarikei dan Mukah.
“Kesemua kawasan yang dikenal pasti termasuk di Muton Undai ini akan dibangunkan dengan infrastruktur sistem tali air,” katanya kepada UKAS pada Majlis Penyerahan Bahan Binaan Untuk Projek Baikpulih Rumah di Bawah Program (MRP- PPRMS) hari ini.
Sebanyak 10 buah rumah panjang membabitkan 245 pintu di Muton Undai, Pusa menerima peruntukan berjumlah RM300,000 untuk baik pulih rumah.
Menurut Razaili, PPRMS tersebut merupakan fasa kedua dan kerja-kerja baik pulih dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan.
“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana dapat menyediakan peruntukan ini. Kita juga menunggu peruntukan untuk peringkat ketiga untuk kawasan-kawasan lain.
“Kesemua kawasan rumah panjang di Muton ini juga sudah dilengkapi dengan elektrik dan air.”
Menurutnya, jalan-jalan ke kawasan rumah panjang berkenaan juga dinaik taraf dengan fasa pertama membabitkan peruntukan sebanyak RM300,000 telah siap dilaksanakan.
Manakala fasa kedua melibatkan kos sebanyak RM500,000 akan dilaksanakan dalam masa terdekat, katanya.
Tambahnya, dua gereja di Muton Asal dan Blok Kelili sudah siap pembinaan dan sebuah lagi dalam binaan di Muton Kara dengan kos RM500,000 setiap gereja. – EDISI UKAS

Search