News

Program ‘Sarawak Kita Empun’ persiap wanita PBB hadapi PRN

PUSA: Program ‘Sarawak Kita Empun’ anjuran Pergerakan Wanita PBB menjadi platform untuk mempersiap siagakan wanita di peringkat akar umbi di seluruh kawasan di Sarawak menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Penasihat di Pejabat Ketua Menteri Sarawak yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Hajah Rohani Abdul Karim, program tersebut diwujudkan oleh Majlis Tertinggi Wanita untuk memberi maklumat dan bimbingan kepada wanita di peringkat cawangan dan ranting.
“Ini adalah satu persediaan, persiapan supaya wanita kita di lapangan khususnya GPS bersiap sedia menghadapi PRN.
“Ada diadakan sedikit sesi randau dan soal jawab di mana kita di Majlis Tertinggi cuba menjawab sebanyak mungkin persoalan-persoalan yang ditanyakan PBB Beting Maro dan ranting-ranting sebanyak 31 buah ranting,” katanya ketika ditemuramah UKAS semasa Program ‘Sarawak Kita Empun’ Beting Maro hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri- Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata Program ‘Sarawak Kita Empun’ menjelaskan kepada rakyat topik-topik terkini seperti perjuangan mengenai hak-hak Negeri Sarawak serta inisiatif-inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari.
“Semua ini merupakan program yang kita olah khas untuk wanita, untuk kita memperkuatkan lagi saf wanita kita untuk menghadapi apa jua cabaran di luar sana.
“Kita telah turun di merata tempat. Program ini akan diteruskan hingga PRN,” ujar ADUN Samariang itu ketika ditemuramah.
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang pula menjelaskan melalui program itu mereka dapat memberi penjelasan mengenai perancangan ekslusif Kerajaan Negeri kepada rakyat Sarawak dalam memastikan kebajikan, keselesaan dan ekonomi rakyat ditangani sebaiknya.
Katanya, program yang telah dilaksanakan sebanyak enam siri itu telah bermula pada awal tahun ini.
Sementara itu, ADUN Beting Maro Razaili Gapor berkata Wanita Beting Maro sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRN yang akan datang. – EDISI UKAS

Search