News

Konflik Antara Manusia, Buaya Boleh Dielak

RABU, 16 DISEMBER 2020

PUSA: Kefahaman dan pengetahuan mendalam tentang buaya adalah penting sebagai langkah untuk mengelakkan serangan reptilia itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, Daerah Pusa contohnya merupakan kawasan yang berisiko tinggi terhadap serangan buaya kerana penduduknya yang terdiri daripada petani dan nelayan amat bergantung harap terhadap sungai untuk meneruskan kehidupan harian.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik penganjuran Program Pendidikan, Kesedaran dan Pemuliharaan Buaya di Dewan Kampung Tambak, Pusa hari ini yang menjadi platform dalam mendedahkan pengetahuan untuk mengelak serangan buaya.

“Melaui program ini, para KMKK dan JKKK Kampung dapat menimba kefahaman dan pengetahuan tentang buaya dan langkah-langkah untuk mengelakkan serangan buaya semasa mengunakan sungai.

“Bagi menyelesaikan konflik atau masalah buaya dengan manusia yang sering berlaku di Sarawak, mentaliti membunuh atau mengeluar semua buaya buaya dalam sungai bukanlah satu jawapan untuk menangani konflik ini,

“Sebaliknya akan menjurus kepada pelbagai isu-isu yang lain seperti keselamatan, keperluan teknologi dan senjata serta isu pembentukan moral masyarakat,” katanya semasa program itu.

Dari pandangan berbeza, Razaili berkata habitat buaya berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong ke Sarawak.

Justeru, program itu juga digunakan untuk berdialog bersama masyarakat kampung dalam membincang dan mencapai situasi ‘menang-menang’ iaitu meningkatkan pendapatan selain pada masa yang sama melindungi dan memulihara habitat liar dan alam semulajadi di kawasan terbabit. – EDISI UKAS

Search