News

RM12 Juta Diperuntuk Untuk Bina Masjid, Surau Di Beting Maro

KHAMIS, 17 DISEMBER 2020

PUSA: Sebanyak RM12 juta peruntukan telah diluluskan bagi pembinaan empat masjid baru di sekitar kawasan DUN Beting Maro.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, masjid berkenaan akan dibina di Kampung Tambak, Spinang, Semarang dan Batang Maro.

Selain itu katanya, Masjid Beladin juga akan dinaiktaraf termasuk pembinaan lima buah surau baru.

Semasa perjumpaan dengan semua Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid-Masjid Dalam DUN Beting Maro hari ini, Razaili memberitahu pembinaan masjid dan surau tersebut akan mengikut prosedur yang sepatutnya.

Jelasnya, agensi pelaksana seharusnya bertindak dan sentiasa memantau setiap projek yang telah berjalan dan akan dibina untuk masa akan datang.

Beliau menambah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merupakan agensi utama dalam memastikan kelancaran projek pembinaan itu nanti.

Kata Razaili, dengan siapnya masjid dan surau itu nanti akan memudahkan penganjuran aktiviti keagamaan di Beting Maro sekaligus membangunkan syiar Islam di kawasan tersebut. – EDISI UKAS

Search