News

ADUN Beting Maro Lawat Keluarga Mangsa Tragedi Pangkalan Feri Triso

JUMAAT, 1 JANUARI 2021

BELADIN: Tragedi menyayat hati di Pangkalan Feri Triso, Pusa yang mengorbankan sembilan sekeluarga petang tadi amat dirasai semua termasuk barisan pemimpin di Sarawak.

Tampil memberikan sokongan moral Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor yang turun meninjau dan melihat keadaan keluarga mangsa terlibat di Klinik Kesihatan Beladin sebentar tadi.

Beliau juga menyumbang kewangan kepada keluarga tersebut dan menyediakan makanan kepada ahli keluarga mangsa sebelum berangkat ke Hospital Sri Aman.

Ucapan takziah turut dizahirkan Penasihat Khas kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim sambil mendoakan segala urusan pengurusan jenazah berjalan dengan lancar.

Dalam kenyataannya, beliau berharap semua pengguna Feri Triso terutama yang menempuh perjalanan jauh supaya lebih berhati-hati.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jamut Masing dijadual melawat tempat kejadian jam 9.30 pagi esok.

Beliau akan diiringi Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dan ADUN Beting Maro, Razaili Gapor.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.10 petang tadi, kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa terjatuh dari Pangkalan Feri Triso dan tenggelam dalam sungai.

Mangsa terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita berusia antara 5 hingga 36 tahun termasuk seorang bayi berusia 4 bulan dikatakan dalam perjalanan ke Kuching dari Kapit. – EDISI UKAS

Search