News

Kerajaan Suntik RM2 Juta Majukan Industri Nipah Di Pusa

ISNIN, 4 JANUARI 2021

PUSA: Kerajaan Negeri serius dalam usaha memajukan industri berasaskan nipah di Kampung Tambak, Pusa dengan menyuntik dana sebanyak RM2 juta.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, kerajaan telah menyediakan sebuah pusat pengumpulan produk berasaskan nipah di kampung tersebut bagi memudahkan kerja-kerja pemprosesan.

Katanya, produk berasaskan nipah dari Kampung Tambak sentiasa mendapat permintaan dan telah menjadi sumber pendapatan penduduk kampung.

Ketika ditemuramah semasa melawat kampung itu hari ini, Razaili memberitahu pengusaha gula apong juga perlu memiliki sijil halal untuk memudahkan produk mereka dipasarkan ke seluruh negara.

Razaili kemudian meneruskan lawatan ke Rumah Kam Belok Kelili, Muton untuk meninjau Gereja St. Matthew’s Chapel Belok yang telah siap dibina sepenuhnya dengan peruntukan dari beliau sebanyak RM400,000.

Beliau menamatkan siri lawatan meninjau ladang nanas MD2 di Kampung Beladin, Pusa yang dijaga di bawah koperasi kariah Masjid Al Amin Beladin.

Menurutnya, nanas MD2 mempunyai permintaan yang tinggi daripada penduduk di situ malah di seluruh Sarawak dan menjadi visi Razaili sendiri untuk membangunkan kawasan Beting Maro sebagai pusat pengeluaran produk berasaskan pertanian terutama nanas. – EDISI UKAS

Search