MUSIM perayaan termasuk Tahun Baharu Cina (TBC) yang disambut secara bersama dipercayai mampu menjadi medium pengikat lebih kuat jalinan antara pelbagai anggota masyarakat waima dalam suasana berbeza latar belakang yang jelas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor mengakui perayaan TBC juga serupa dengan perayaan lain yang harus disambut secara bersama.
"Sebab itu ia menjadi satu keistimewaan dan keunikan yang menjadi kebanggaan seluruh komuniti berbilang kaum di Negeri ini sehingga mampu mewujudkan amalan perpaduan kaum.
"Percayalah dengan perpaduan yang kuat akan memacu kepada pembangunan yang mapan di kawasan Beting Maro dan Daerah Pusa khususnya.
"Justeru, kita amat mengharapkan rakyat sedar yang sebenarnya perpaduan dan keharmonian serta sokongan padu kepada kerajaan telah memacu pembangunan di kawasan ini khasnya dan Bumi Kenyalang tercinta amnya," kata Razaili
Dalam pada itu, beliau amat menekankan agar generasi muda hari ini turut diterapkan untuk terus menyemai semangat bersatu padu kerana mereka suatu hari kelak akan memacu memimpin negara.
"Matlamatnya agar perpaduan dan keharmonian kaum terus hidup dan menjadi teras pada masa-masa akan datang," ujarnya.
"Saya serta keluarga dan seluruh warga Beting Maro mengucapkan selamat menyambut TBC kepada seluruh masyarakat Tiong Hua. Semoga perayaan kali ini dapat disambut dengan lebih meriah dan gembira," katanya.