News

BUKA RUANG KERJASAMA BENTUK DISIPLIN PELAJAR

SENI mempertahankan diri dicadang untuk dipergiatkan di sekolah-sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro khususnya dan Zon Pusa amnya bagi membentuk disiplin anak-anak sekaligus mengalihkan perhatian mereka untuk terlibat dengan sesuatu perkara yang lebih bermanfaat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor memberitahu, disiplin pelajar di kawasan ini masih menjadi isu utama sehingga mengundang pelbagai masalah sosial.

"Kita berusaha untuk mengubah keadaan tersebut. Sebab itu saya membuka ruang kerjasama dengan sekolah-sekolah dalam DUN Beting Maro dan Zon Pusa untuk mengaktifkan seni mempertahankan diri melalui kelab atau persatuan sebagai satu langkah membentuk disiplin anak-anak.

"Seni atau sukan seperti silat, karate, tae kwando, wushu, tinju dan sebagainya memerlukan disiplin yang tinggi.

"Jadi, apabila anak-anak dilibatkan dengan perkara ini di sekolah saya percaya akan dapat membentuk disiplin mereka. Dalam masa yang sama kecenderungan mereka akan dapat dialih daripada banyak diluangkan dengan perkara yang tidak berfaedah kepada sesuatu yang memberi manfaat.

"Misalnya dengan menyertai aktiviti seni mempertahankan diri, juga berupaya meningkatkan kecergasan untuk kesihatan tubuh badan," katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama pengetua, guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Zon Pusa di Dewan al-Amin, baru-baru ini.

Selain itu jelasnya menyemai semangat untuk mencintai seni budaya warisan yang menjadi kebanggaan.

Beliau menyifatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beladin antara sekolah yang berjaya menarik sebahagian pelajarnya dengan perkara berkaitan kebudayaan.

Razaili dalam pada itu mahu konsep 'merakyatkan sekolah' terus diguna pakai bagi mengeratkan hubungan baik antara pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat demi pembangunan pendidikan.

"Sebab meletakan tanggungjawab atas bahu pihak sekolah semata-mata untuk pembangunan pendidikan adalah tidak wajar. Lebih berkesan dan maju sekolah itu apabila ada sokongan padu ibu bapa, masyarakat dan wakil rakyat.

"Sehubungan itu, kita amat menggalakan penganjuran sesuatu program di sekolah mahupun kampung melibatkan semua pihak.

"Selain penekanan akademik dan kokurikulum, usaha merakyatkan sekolah melalui aktiviti sosial juga berupaya membentuk peribadi anak yang mempunyai sahsiah," ujarnya.

Beliau dalam pada itu menyatakan sokongan terhadap perancangan pihak sekolah bersama PIBG demi pembangunan pendidikan anak-anak di DUN Beting Maro dan Zon Pusa khususnya.

-OSMAN RAZALI

Search