News

DUA MASJID BAHARU DIJANGKA SIAP TAHUN HADAPAN: Kontraktor perlu tepati masa

PENDUDUK dua buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro dijangka dapat menggunakan masjid baharu lebih setahun dari sekarang.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor, dua masjid yang akan dibina pada tahun ini ialah Masjid Kampung Semarang dan Beladin.

"Masjid baharu Kampung Semarang akan dibina dengan peruntukan RM2.5 juta, sementara naik taraf masjid Beladin dengan RM2 juta.

"Insha-Allah kedua-duanya akan dibina bermula April setelah penyerahan tapak dilakukan," katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditanya selepas Mesyuarat Pembinaan Masjid Beladin dan Semarang dekat Dewan al-Amin, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Betong Abang Mohamed Abang Turkey, Pegawai di Jabatan Agama Islam (JAIS) Bahagian Betong Ustaz Alsagaf Beli, Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain, Pengerusi Masjid al-Amin Beladin Zakaria Mos, Pengerusi Masjid Semarang Sahadan Matrang serta wakil agensi dan pihak perunding projek.

Kata Razaili, peruntukan tersebut diluluskan oleh Ketua Menteri Kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.

"Kita bersyukur kerana ia terus dilaksanakan walaupun mengambil sedikit masa.

"Mewakili masyarakat di sini, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meneruskan dasar Adenan dengan mengutamakan keperluan penduduk luar bandar," ujarnya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan pihak kontraktor yang dilantik membina kedua-dua masjid itu kelak agar menepati tempoh 12 bulan yang ditetapkan.

"Kita sudah lama menunggu ditambah keperluan yang mendesak lebih-lebih lagi dengan status Masjid Semarang yang diancam hakisan.

"Atas sebab itu, kita merayu pihak kontraktor memberikan peranan lebih serius. Kalau diberikan tempoh setahun, maka siapkanlah dalam masa tersebut... ini yang dimahukan oleh penduduk sebagai kemudahan dalam menunaikan ibadah," tegasnya.

Beliau turut mengharapkan penduduk di kedua-dua kampung bersabar menunggu ia siap dalam tempoh lebih setahun mendatang.

-OSMAN RAZALI

Search