KES DENGGI DI PUSA

PENGARAH Kesihatan Negeri Sarawak Dr. Jamilah Hashim mengesahkan sembilan kes demam denggi direkodkan di Kampung Pusa.

Merujuk kepada status terkini berhubung laporan tular di media sosial mengenai wabak di Kampung Pusa, Jamilah mengesahkan wabak mula diisytihar pada 21 Februari.

"Sehingga 2 Mac, terdapat sembilan kes demam denggi direkodkan iaitu tujuh di Kampung Tengah, manakala dua dilaporkan di Kampung Hilir," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya, berlaku peningkatan kes demam denggi di Sarawak.

"Dari Januari sehingga 2 Mac, sebanyak 314 kes dicatatkan di negeri ini berbanding hanya 89 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada 2018.

"Kuching dilapor menyumbang jumlah tertinggi dengan 119 kes diikuti Sibu (35 kes) dan Betong (30 kes).

"Lain-lain bahagian merekodkan 27 kes di Serian, Miri (25 kes), Kapit (23 kes), Sarikei (17 kes), Bintulu (12 kes), Sri Aman (10 kes), Samarahan (8 kes), Limbang (6 kes) dan Mukah (2 kes)," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor ketika dihubungi menyatakan wabak kini terkawal dengan tiada penambahan kes.

"Syukur wabak denggi dapat dibendung dengan tiada kes baharu dilaporkan.

"Ini semua hasil tindakan proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) serta penduduk Kampung Pusa dengan mengadakan kerja gotong-royong membersihkan kawasan masing-masing. Selain aktiviti semburan kabus (fogging) dan ceramah kesedaran," jelasnya.

Beliau menggesa semua pihak untuk menjaga kebersihan dengan memastikan tiada air bertakung yang menggalakan pembiakan nyamuk Aedes.

Dalam masa yang sama katanya amat penting pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bekerjasama dengan Majlis Daerah Betong (MDB) dalam mengurus sampah dengan lebih berkesan.

"Pendidikan kebersihan amat penting. Untuk jangka masa panjang pengurusan sampah perlu diberi keutamaan," tambahnya.

Search