SETIAP calon atau penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sarawak perlu mempunyai integriti yang tinggi.
Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdullah Saidol berkata, setiap mereka perlu dinilai bukan hanya dari aspek kemampuan sebagai wakil rakyat, malah kesahihan sijil pendidikan mereka.
“Pemimpin-pemimpin hari ini harus menjadi contoh yang baik kepada rakyat,” tegasnya ketika diminta mengulas kemelut isu sijil pendidikan beberapa pemimpin di peringkat Persekutuan yang dipertikai netizen dan media kebelakangan ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Integriti 2019 di sini, semalam.
Katanya, rakyat tidak perlu kepada pemimpin yang hanya ‘pandai’ bercakap isu-isu yang besar dan gah tetapi menipu dalam hal sijil-sijil pendidikan, umpamanya.
“Jika hal sijil-sijil universiti pun menipu … saya tidak dapat bayangkan perkara lain.
“Kerana itu integriti dia sebagai pemimpin mahupun sebagai manusia harus dipersoalkan,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, kata Abdullah, beliau juga mahu isu rasuah di negara ini diberi perhatian dan diambil tindakan yang serius.
“Jika gejala (rasuah) ini tidak ditangani, kami sebagai rakyat di luar bandar akan berasa kerugian kerana akan berlaku ketirisan hingga projek pedalaman tidak terhasil seperti mana yang diharapkan,” tambahnya lagi.
Isu gejala rasuah tegasnya, mesti ditangani dengan pelbagai cara; bukan sahaja di peringkat atas ke bawah tetapi juga secara bawah ke atas.
-SARAWAKVOICE