CADANGAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengaplikasikan kaedah pengundian secara elektronik (e-undi) dilihat sebagai transformasi dalam sistem pilihan raya negara.
Ketua Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, SPR melihat kaedah pengaplikasian e-undi lebih selamat dan menjimatkan kos.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa penduduk terutama pengundi harus dididik dan diberi tunjuk ajar cara pengundian dalam talian.
Menurutnya didikan dan tunjuk ajar cara pengundian dalam talian tidak hanya perlu diberikan kepada pengundi termasuk golongan muda yang celik Internet tetapi pengundi warga tua yang tidak celik Internet.
“SPR mempertimbangkan pelaksanaan kaedah pengundian secara e-undi yang dilihat lebih selamat dan menjimatkan kos.
“Ini adalah sebahagian daripada reformasi dalam sistem pilihan raya negara kita.
“Bagaimanapun penduduk terutama pengundi merangkumi golongan muda yang celik Internet dan pengundi warga tua yang tidak celik Internet harus dididik dan diberi tunjuk ajar cara pengundian dalam talian,” katanya kepada Utusan Borneo.
Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata untuk memastikan pelaksanaan e-undi mencapai objektifnya kajian mendalam mesti dilakukan terlebih dahulu.
Tambahnya, kajian itu mesti melihat aspek positif dan negatif kerana percaya setiap sistem yang baharu sudah tentu ada baik dan buruknya.
“Semua aspek perlu diteliti sebelum ia boleh dilaksanakan kerana setiap sistem yang baharu tentu ada baik dan buruknya. Kalau kebaikannya lebih banyak maka ia wajar dipertimbangkan,” katanya.
Fatimah berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar nasional berbahasa Melayu baru-baru ini memetik Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun menyifatkan pelaksanaan e-undi lebih selamat, kerahsiaan terjamin dam menjimatkan kos.
Perkara itu ujarnya, menjadikan cadangan penggunaan aplikasi e-undi dalam sistem pilihan raya negara kini dalam proses pertimbangan suruhanjaya berkenaan.
Azhar memberitahu, kajian SPR mendapati kaedah itu yang digunakan di Rusia, Korea Selatan, India dan Congo dapat menjimatkan banyak masa serta meminimumkan bilangan kakitangan diperlukan.
Tambahnya lagi, SPR sudah melakukan pencarian fakta dan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk pegawai dari negara yang sudah melaksanakan kaedah e-undi dan pengundian Internet.
-UTUSAN BORNEO ONLINE