WISMA PUTRA, KERAJAAN NEGERI BEKERJA SECARA SENYAP RUNDINGI PEMBEBASAN 40 ANAK SARAWAK DARI PENJARA KEMBOJA

KERAJAAN Negeri Sarawak dan Wisma Putra telah bekerjasama rapat untuk mendapatkan pembebasan 40 anak Sarawak yang ditahan di Siem Reap, di sini atas alasan terlibat dalam perjudian atas talian, kata Pengarah Kementerian Luar Negeri Wilayah Sarawak, Deddy Faisal Ahmad

Menurutnya, mereka mengusahakan pembebasan 47 rakyat Malaysia itu setelah dimaklumkan secara rasmi mengenai penahanan ini pada 28 Disember lalu.

“Kementerian kemudian memaklumkan semua anggota keluarga mangsa yang terlibat.

“Menjadi praktis biasa dalam diplomatik, kami hanya memaklumkan maklumat ini kepada anggota keluarga. Ia tidak dihebahkan kepada orang ramai.

“Ia perkara sensitif dan keluarga perlu tahu dan dihubungi. Mereka tahu kami bekerja di balik tabir tanpa mengenal penat lelah.

Katanya, pihaknya berusaha siang malam dan mempunyai pasukan yang sangat komited dan berdedikasi di Wisma Putra dalam menangani isu ini.

“Wisma Putra juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg), yang menerima maklumat terkini secara kerap dan semua kejayaan ini adalah kerana kerja berpasukan daripada semua pihak yang terlibat.

“Tidak ada usaha menyembunyikan usaha ini terutama oleh Kerajaan Negeri Sarawak, kerana kami melaksanakan usaha (rundingan) ini secara tertutup, sebagai perunding antarabangsa,” katanya lagi.

Deddy turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakannya di Kedutaan Malaysia di Phnom Penh, terutamanya Encik Ruzaimi dan kepada Datuk Mustapha Ahmad Marican; yang mengetuai badan bukan kerajaan dari Malaysia yang aktif melakukan kerja-kerja komuniti di Kemboja, yang turut terlibat dalam menjayakan usaha ini.

-Sarawakvoice

Search