SJKC CHUNG HUA PUSA TERIMA RM200,000 DANA BINA DATARAN KEJAT

MEMIKIRKAN faktor keselamatan murid dan keselesaan ibu bapa menghantar anak ke sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Pusa diberi peruntukan tambahan bagi membina Dataran Kejat yang bernilai RM200,000.

Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, pada mulanya dataran itu berperanan sebagai tempat parkir itu diluluskan di bawah projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan peruntukan RM100,000.

"Namun, penilaian lanjut oleh agensi pelaksana menganggarkan bajet tersebut tidak mencukupi.

"Jadi, memikirkan faktor keselamatan murid dan keselesaan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekokah ini, kita menambah peruntukan RM100,000 lagi melalui PIBG," katanya

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan majlis jamuan malam dan Pesta Angpau sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2019 dekat sini, malam tadi.

Rohani pada majlis yang sama berkata, pihaknya akan membawa agensi kerajaan turun padang menerusi program 'Jom Berambeh' yang akan diadakan pada 16 Mac, dekat Dataran Tandang Sari.

"Ini merupakan program bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batang Lupar dan Pejabat Daerah Pusa yang mana kita akan membawa agensi kerajaan mendekati rakyat dengan perkhidmatan ditawarkan.

"Bukan itu sahaja, turut diadakan pameran dan ini peluang terbaik untuk rakyat berurusan secara terus dengan agensi pelaksana dasar kerajaan," ujarnya.

Majlis itu merupakan penganjuran ketujuh sejak mula diadakan pada 2013 anjuran bersama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batang Lupar, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pusa, Lembaga Pengurusan SJKC Chung Hua Pusa, PIBG SJKC Chung Hua Pusa, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasar Pusa.

Kata Rohani program ini bukan sahaja untuk meraikan masyarakat Tiong Hua, tetapi semua penduduk di Daerah Pusa berbilang kaum.

Bagi Pengerusi SUPP Cawangan Pusa Kr. Dato' Lim Kian Choon, majlis seperti ini menggambarkan perpaduan antara masyarakat di sini yang begitu baik dan harus dikekalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor pada majlis yang sama turut menyumbang RM5,000 kepada PIBG sekolah.

Hadir sama Naib Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Beting Maro Mohiden Bolhassan mewakili ADUN, Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, Yang Dipertua PIBG Sahariya Tahot dan Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain.

 

-OSMAN RAZALI

Search