Previous Next

ROHANI TURUN PADANG SELESAI KEKELIRUAN PENDUDUK MUTON

TIADA niat untuk melebih-lebihkan satu-satu rumah panjang, Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim turun padang menyelesaikan kekeliruan dalam kalangan penduduk di kawasan Muton berhubung projek RM50,000 yang disediakan kerajaan negeri.

Pada 21 Januari lalu, beliau menyampaikan Cek Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Parlimen Batang Lupar yang keseluruhannya bernilai RM308,000 kepada 15 persatuan hasil peruntukan khas Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri.

Menurut Rohani, salah satu daripadanya digunakan untuk gotong-royong membina parit serta membersihkan kawasan sawah padi di Muton yang diserahkan atas nama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Hossin Siton bernilai RM50,000.

"Saya dimaklumkan timbul kekeliruan menyatakan projek RM50,000 tersebut hanya untuk Rh Hossin Siton.

"Saya ingin menegaskan, peruntukan hanya disalurkan menggunakan satu nama, namun sebenarnya projek berkenaan kelak memberi manfaat kepada semua kawasan Muton sebab ia digunakan untuk membersihkan kawasan sawah padi di kawasan sekitar.

"Kerajaan tidak memberi kepada Rh Hossin sahaja, tetapi untuk kegunaan bersama... saya tidak mahu dianggap melebih-lebihkan satu-satu rumah panjang," katanya.

Beliau bercakap demikian ketika hadir Majlis Randau Rh Muton Asal Bersama Ahli Parlimen Batang Lupar dekat sini, semalam.

Jelasnya, perkara ini perlu diperjelaskan agar tidak mengundang perkara lain yang lebih teruk.

Cek tersebut bagaimanapun terpaksa dikembalikan atas kesilapan ejaan nama penerima dan akan diserahkan semula kepada JKKK yang diamanahkan selepas pembetulan dibuat.

Rohani mengharapkan dengan adanya peruntukan daripada kerajaan negeri itu akan menyelesaikan masalah parit tersumbat seterusnya menyuburkan lagi tanaman padi penduduk di kawasan tersebut.

Beliau sejurus itu bersama rombongan mengadakan kunjungan Tahun Baharu Cina ke rumah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pusa Kr. Dato' Lim Kian Choon.

Turut hadir Pegawai Tadbir di Pejabat Daerah Pusa Iszarul Japar, Jurutera Bahagian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Betong Bartholomew Emily Ayu dan Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain dan Tuai rumah (Tr) Rh Muton Asal Hossin Siton.

-JIWA BAKTI (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2342636472639732&id=1629692917267428) & FOTO OSMAN RAZALI

Search