SEMANGAT UTAMAKAN SARAWAK TAK BOLEH LUNTUR - KM

RAKYAT Sarawak digesa supaya terus bersatu tanpa mengira perbezaan ideologi politik dalam perjuangan mendapatkan semula hak-hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Sarawak 1963.

Ketua Menteri  menegaskan, semangat ‘Utamakan Sarawak’ tidak boleh luntur hanya kerana perbezaan politik yang menyebabkan Sarawak dilayan seperti anak tiri.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusan Tahun Baharu Cina, rakyat Sarawak tidak boleh hilang perjuangan mendapatkan kembali hak-hak yang hilang itu ketika ia berusaha keras untuk memperkukuhkan ekonomi Sarawak.

“Ini ialah kehendak semua rakyat Sarawak yang mesti dihormati kerana rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat tidak baik untuk kesejahteraan negara,” katanya dalam perutusan itu.

Perjuangan ke arah itu, katanya, bukan mudah, justeru, rakyat Sarawak mesti bergerak dan bertindak, serta bersuara senada seirama.

Sementara itu, Abang Johari berkata: “Kita bangga Sarawak ialah tempat rakyat boleh memahami dan menghormati antara satu sama lain dan boleh hidup dalam masyarakat yang mementingkan perpaduan.”

Ujarnya lagi, rakyat Sarawak meraikan kepelbagaian dan mencari titik persamaan dalam perbezaan antara satu sama lain.

-SARAWAKVOICE (https://sarawakvoice.com/2019/02/04/semangat-utamakan-sarawak-tak-boleh-luntur-kata-ketua-menteri/)

Search