Pembinaan Penghadang Tanjakan Feri Di Seluruh Sarawak, Keselamatan Rakyat Jadi Keutamaan

SABTU, 2 JANUARI 2021

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak akan menyegerakan pembinaan penghadang di semua tanjakan feri di seluruh negeri dalam memastikan keselamatan pengguna feri sentiasa terjamin.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing berkata, penghadang tanjakan yang kukuh perlu dibina bagi memastikan tragedi yang meragut sembilan nyawa pengguna feri di Pengkalan Feri Triso tidak lagi berulang.

Menurut beliau, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sudah diarahkan untuk melaksanakan pembinaan penghadang melibatkan semua tanjakan feri di negeri ini.

“Kita juga mengarahkan agensi yang bertanggunjawab untuk mengikut semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh pengguna kenderaan semasa memasuki feri,” katanya semasa ditemui media selepas melakukan lawatan ke Pengkalan Feri Triso pada Sabtu.

Dalam pada itu, Tan Sri James Masing memberitahu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku dipercayai berpunca dari pemandu kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan lalu menjurus kepada kemalangan kendiri dan bukannya kesilapan daripada petugas atau operator dari feri tersebut.

Beliau turut menegaskan mengenai fakta bahawa semasa kejadian berlaku, feri sudah bergerak meninggalkan pengkalan dan kenderaan tersebut bukan jatuh dari feri seperti yang tular dalam media sosial.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada masyarakat yang membantu mengeluarkan mangsa semasa kejadian itu pada Jumaat.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor serta ADUN Saribas, Razi Sitam.

Difahamkan, enam mangsa kemalangan yang beragama Islam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu, Sri Aman, manakala tiga mangsa yang beragama Kristian pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian di Sibu. -EDISI UKAS

Search