JUMAAT, 8 OKTOBER 2021
PUSA: ADUN Beting Maro Razaili Gapor menangkis dakwaan tender untuk projek jalan pesisir hanya dibuka kepada kontraktor Bumiputera sahaja.
Jelasnya, dakwaan yang dibuat menerusi media sosial itu tidak benar dan tender projek tersebut adalah dibuka kepada semua kontraktor.
Beliau berkata demikian semasa sesi perjumpaan bersama Ketua Masyarakat DUN Beting Maro pada Khamis.
Isu tersebut timbul susulan lawatan kerja Menteri Muda Infrastuktur dan Pembangunan Pelabuhan Negeri Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Razaili menyarankan ketua masyarakat turut bersama-sama menyumbangkan idea untuk pembangunan dan meningkatkan kegiatan ekonomi penduduk di kawasan itu.
Kesempatan pada sesi tersebut dimanfaatkan beliau dengan mendengar segala keperluan dan cadangan daripada ketua masyarakat.
Beliau turut menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk badan kebajikan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Beting Maro. -EDISI UKAS