ISNIN, 14 OGOS 2023
PUSA: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN Beting Maro diingatkan agar memainkan peranan masing-masing dalam mengurus hal ehwal kampung dengan sewajarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata dalam hal ini, penstrukturan Ahli Jawatankuasa di kawasan kampung perlu diselaraskan agar berfungsi dengan baik dan kata sepakat dapat dibuat mengenai apa-apa keperluan di kampung tersebut.
Katanya, langkah ini juga bagi memastikan JKK berfungsi dengan baik supaya matlamat akan tercapai dan hal yang bermanfaat akan terus dinikmati oleh penduduk kampung.
Dalam hal ini, beliau juga mahu JKKK menyelaras penggunaan whatsapp group sepenuhnya untuk menyampaikan apa maklumat berkaitan dengan parti atau isu-isu di kawasan dengan cepat.
“Di sini saya mengingatkan peranan kepimpinan parti di peringkat ranting agar terus produktif bukan hanya berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa untuk kepentingan parti.
“Saya berasa kecewa dan kesal dengan peranan kepimpinan parti di peringkat ranting kerana tidak melaksanakan pencarian atau menyampai maklumat pertubuhan Sayap 1828 kepada belia yang berumur 1828 sehingga kehadiran golongan ini pada hari pertubuhan Sayap 1828 berkenaan tidak dihadiri oleh golongan ini secara maksima.
“Parti PBB merupakan parti tunjang di Sarawak tetapi mengingatkan ahli parti supaya tidak mengambil mudah dan leka dengan hal tersebut kerana senario politik sekarang yang sentiasa berubah-rubah,” katanya semasa sesi perjumpaan bersama semua KMKK, Ketua Ranting, Ketua Wanita Ranting Dan Ketua Pemuda Ranting di Dewan Al Amin Beladin, Pusa pada Sabtu.
Tegasnya, cabaran sebenar yang dihadapi parti PBB sekarang adalah persaingan dengan parti dalam kerajaan Perpaduan peringkat pusat yang mana parti ini turut mencari keahlian dan pengaruh atas tiket kerajaan perpaduan.
Ujarnya, dengan persaingan yang wujud ianya memberi implikasi dengan kedudukan parti PBB sebagai parti tunjang di negeri ini.
Jelasnya lagi, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada DUN Beting Maro bagi pembangunan ekonomi setempat untuk tahun akan datang.
Justeru, beliau menggesa semua KMKK, Ranting PBB bergerak seiring dengan hasrat dan acuan yang dihasratkan oleh kerajaan Sarawak.
Katanya, pembangunan sedang pesat dijalankan di kawasan ini dan merupakan komintmen kerajaan Sarawak untuk membangunkan dan membantu rakyat di kawasan luar bandar. – EDISI UKAS