RUANG BERNIAGA LEBIH SELESA UNTUK PENJAJA - ROHANI

KERAJAAN mempunyai pelan dalam menyediakan tempat berniaga yang lebih selesa untuk penjaja di Pekan Pusa.

Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan melalui Majlis Daerah Betong (MDB) komited memastikan suasana berniaga dalam kalangan penjaja di sini supaya kelihatan lebih teratur, bersih dan ceria sekaligus dapat menarik pengunjung.

"Saya mahu penjaja-penjaja yang berjual di Pekan Pusa ini dapat diatur sebaik-baiknya dengan mengutamakan aspek kebersihan dan keceriaan.

"MDB ada perancangan untuk menaik taraf tempat ini (kawasan tempat letak kereta hadapan market) untuk dijadikan tempat kekal dan semua penjaja sedia ada akan diberikan keutamaan," katanya.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Penyerahan Kanopi dan Sesi Dialog Bersama Persatuan Penjaja Daerah Pusa dekat Market MDB Pusa, semalam.

Rohani menyerahkan 30 kanopi sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Batang Lupar kepada persatuan penjaja.

Jelasnya, persatuan sebagai satu entiti yang sah diharap dapat memainkan peranan dan menjadi pengantara antara wakil rakyat dan penjaja di pekan ini untuk memastikan usaha menyediakan kemudahan kepada golongan ini dapat dilaksanakan sebaiknya.

"Saya faham mungkin jumlah yang diberikan kali ini tidak mencukupi atau tidak bertahan lama. Ini untuk sementara dan Insha-Allah kita akan menambah lagi pada masa akan datang mengikut keperluan sementara menunggu tempat berniaga kekal diwujudkan.

"Selain meja kerusi juga akan disediakan. Jadi, sesiapa sahaja boleh menggunakannya nanti... pastikan semua mendapat peluang untuk menggunakannya.

"Sebab kita cuba mewujudkan suasana berniaga yang yang terbaik setelah Pekan Pusa menjadi tumpuan dengan produk-produknya yang pelbagai," ujarnya.

Pada sesi dialog tersebut juga, pelbagai isu dibincangkan bagi memastikan penjaja-penjaja di Pekan Pusa dapat berniaga dengan selesa dan tersusun.

Hadir sama Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, Penolong Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pusa yang juga Ahli MDB dan wakil penjaja Kr. Dato' Lim Kian Choon dan Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain.

-JIWA BAKTI & FOTO OSMAN RAZALI

Search