24 JANUARY 2023
Ketua Kampung Perlu Proaktif, Selesaikan Masalah ‘Perimeter Survei’ Di Tanah NCR
BETONG: Setiap Ketua Kampung perlu mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah ‘perimeter survei’ di Tanah Adat Bumiputera (NCR) penduduk Kampung bagi melindungi hak mereka.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor mahu semua ketua kampung menyenaraikan tanah pemilik Kampung agar mengemukakan permohonan bagi tujuan ‘perimeter survei’ tanah mereka.
“Selagi tanah terus belum didaftarkan ianya bukan hak milk kita.
“Justeru itu kita perlulah mengambil langkah yang berpatutan dengan membuat permohonan kepada jabatan tanah dan survei agar tanah tersebut menjadi milik kita.
“Setiap permohonan perlulah melalui Ketua Kaum dan Ketua Kampung bagi mengelakkan permohonan yang bertindih di mana pejabat tanah dan Survei tidak akan melayan permohonan secara individu yang telah dimajukan oleh penduduk kampung."
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bersama ADUN Beting Maro di Masjid Beladin Al Amin, Pusa pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata Beting Maro sesuai dijadikan pusat pengeluaran produk makanan tempatan kerana ianya boleh menghasilkan produk tempatan dan dipasarkan di luar negeri atau negara.
Tambah beliau, para usahawan tempatan perlulah mengunakan peluang tersebut bagi menjana pendapatan harian.
“Produk nanas dan apong juga mempunyai pontesi yang tinggi kerana ianya merupakan produk makanan digunakan harian penduduk di Sarawak.
“Kita di kawasan ini perlulah mengunakan hasil tani yang sedia ada untuk meningkatkan lagi produk di kawasan ini kerana kawasan ini akan menjadi tumpuan penduduk di Sarawak,” katanya.
Hadir sama Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Zain, Penghulu Zon Pusa Mahdi Kidi, Penghulu Kampung Beladin Mahbang Labek dan Ketua Kampung Beting Maro.-EDISI UKAS